Friday, August 8, 2014

Berpijaklah di bumi yang nyata wahai Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan era 80-an, Khalid Ali mengingatkan barisan staf kejurulatihan dan pemain Harimau Malaya agar berpijak di bumi nyata dengan mengkaji semula sasaran untuk layak ke final Piala AFF.

Menurut bekas pemain tengah negara itu, Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) yang terlalu tinggi diletakkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Dollah dikhuatiri boleh memberi tekanan kepada pasukan negara yang kini berada di Tajikistan bagi menghadapi aksi persahabatan bertemu skuad kebangsaan negara itu malam ini.

“Cakap memang senang, tapi adakah pasukan kita memiliki kualiti diperlukan itu? Kalau nak pasang niat tiada masalah, tapi kita perlu sedar di mana pasukan negara berada.

“Saya bukan mahu bersikap negatif, tapi ini pandangan ikhlas saya.

Kalau masih berada di takuk sama dan sikap pemain tidak berubah, saya rasa kita tidak mampu pergi jauh malah kemungkinan kita terkandas awal tetap ada.

“Lagipun, rekod pertemuan kita dengan Singapura dan Thailand tidak begitu baik, malah sering tewas setiap kali bertemu dalam aksi penting,” katanya ketika dihubungi semalam.

Skuad Dollah diletakkan sekumpulan dengan dua pasukan kuat, Singapura dan Thailand yang pernah menjulang mahkota itu lebih daripada sekali berbanding Malaysia hanya sekali pada 2010.

Singapura yang akan tampil selaku juara bertahan selepas muncul juara dua tahun lalu apabila menghampakan Thailand 3-2 di final melengkapkan status selaku pasukan paling digeruni dengan menjuarai piala itu empat kali (1998, 2004, 2007, 2012) manakala Thailand tiga kali (1996, 2000, 2002).
Pasukan Harimau Malaya sedang berlatih untuk Piala AFF
Justeru, Khalid yang juga kenalan rapat Dollah mengharapkan bekas pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dapat melakukan transformasi dari segi corak permainan bertahan kepada corak serangan yang amat digemari jurulatih itu.

“Dollah perlu ubah dan yang pasti taktikal yang akan digunakan nanti mesti berbeza.

Jangan amalkan gaya permainan bertahan yang sering digunakan jurulatih sebelum ini,” katanya.

Laluan skuad kebangsaan juga bertambah sukar apabila selain Singapura dan Thailand, satu lagi slot Kumpulan B kemungkinan menjadi milik Myanmar yang menjadi pasukan pilihan menjuarai pusingan kelayakan. - hmetro

0 comments:

Post a Comment

Setiap komen akan memberi backlink kepada anda. Sila komen pakai otak manusia yer...

Cerita Blogger