Wednesday, October 9, 2013

Indra Putra tidak panik terima ugutan bunuh, peminat buat laporan polis

Berita ini merupakan susulan kepada kes ugut bunuh yang dilakukan oleh seorang pengguna Facebook terhadap Indra Putra. Laporan dari Kosmo.


PERANCANG Kelantan, Indra Putra Mahayuddin menasihatkan peminat bola sepak tempatan agar tidak terlalu obses dengan pemain mahupun pasukan kesayangan mereka.

Ini kerana Indra menganggap sikap sedemikian mampu mencetuskan perkara negatif jika ia tidak dikawal dengan sebaik mungkin.

Indra berkata, perbuatan itu dilihat lebih teruk di mata masyarakat jika ada individu sanggup mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan seperti membunuh semata-mata mahu menyokong pemain atau pasukan masing-masing.

Terdahulu, Indra diugut bunuh oleh seorang individu selepas aksi suku akhir kedua Piala Malaysia antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Sabtu lalu.

Individu terbabit dipercayai mengeluarkan ugutan itu di laman sosial Facebook miliknya kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Indra mengasari Norshahrul Idlan Talaha sehingga menyebabkan penyerang Johor DT itu mengalami pendarahan di bahagian hidung.

Semalam, seorang penyokong bola sepak Kelantan, Mohd. Firdaus Mohd. Saari, 32, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu berhubung ugutan yang diterima Indra itu.

"Semalam (kelmarin), saya menganggap kenyataan (ugutan individu) itu sebagai gurauan semata-mata. Saya tidak ambil serius tentang hal itu dan saya juga tahu seorang penyokong Kelantan hari ini (semalam) telah membuat laporan polis.

"Saya amat berterima kasih kepada peminat-peminat yang sentiasa menghargai saya dan tidak mahu keselamatan saya diancam.

"Nasihat saya, peminat-peminat jangan terlalu obses dengan menyalah guna laman sosial Facebook untuk mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan seperti membunuh.

"Perbuatan itu hanya memakan diri sendiri. Jika boleh, elak daripada membuat kenyataan yang boleh disalah erti dan jangan bergurau tak kena tempat," kata Indra ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Indra sekali lagi memohon maaf terhadap insiden kekasaran yang berlaku ke atas Norshahrul yang disifatkannya tidak sengaja.

"Saya tidak sengaja sebenarnya. Di padang, kami lawan tetapi di luar padang, kami kawan. Kami adalah profesional.

"Peminat harus faham tentang semangat kesukanan. Mereka seharusnya menikmati perlawanan, bukannya mengeluarkan kenyataan berbentuk emosi sebaik perlawanan berakhir," katanya yang tidak akan membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh itu. 

Tu lah..jangan tunjuk berani kat Facebook jer..kalau betul-betul anak jantan, pergi terus confront si Indra Putra depan mata...tengok siapa yang lebih power..hoho..biasalah kalau budak sekolah guna facebook.

0 comments:

Post a Comment

Setiap komen akan memberi backlink kepada anda. Sila komen pakai otak manusia yer...

Cerita Blogger