Tuesday, October 8, 2013

FAM ubah gelanggang separuh akhir Piala Malaysia antara ATM vs Kelantan

Berikut berita terkini mengenani venue perlawanan separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia yang membabitkan pasukan ATM vs Kelantan.

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan gelanggang separuh akhir pertama Piala Malaysia membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang Kelantan akan berlangsung di Stadium Shah Alam dan bukannya Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang menjadi gelanggang tuan rumah Gladiators.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM Datuk Afandi Hamzah berkata, perkara berkenaan sudah dibincangkan dengan ATM sebagai tuan rumah untuk aksi separuh akhir pertama. 
“Kita mengambil langkah mengadakan perbincangan sebaik saja selesai suku akhir Piala Malaysia kerana menjangkakan kehadiran penyokong yang ramai. ATM turut menyatakan persetujuan mereka dengan pertukaran gelanggang ini walaupun pada awalnya Stadium MPS didaftarkan pasukan berkenaan,” katanya. 

Afandi menambah, tindakan berkenaan bagi membolehkan lebih ramai penyokong kedua-dua pasukan hadir memberikan sokongan, kawalan yang lebih baik dan aspek lain agar perlawanan berlangsung dengan lancar.

“Bagaimanapun status tuan rumah masih lagi milik ATM. Mereka bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan, tiket dan perkara-perkara berkaitan,” katanya.

Terdahulu badan induk berkenaan menerusi satu kenyataan memaklumkan pertukaran gelanggang berkenaan dengan tarikh dan masa tidak berubah iaitu 18 Oktober ini serta dijadualkan bermula jam 8.45 malam. 

Menurut kenyataan itu, ATM memohon perubahan gelanggang berkenaan atas faktor penambahan jumlah penonton yang dijangka berlaku dan aspek keselamatan. - hmetro

0 comments:

Post a Comment

Setiap komen akan memberi backlink kepada anda. Sila komen pakai otak manusia yer...

Cerita Blogger