Showing posts with label Datuk K. Rajagobal. Show all posts
Showing posts with label Datuk K. Rajagobal. Show all posts

Thursday, October 17, 2013

Rajagobal belum mahu menyerah kalah

Keputusan seri 1-1 dengan Bahrain beberapa hari lalu sebenarnya masih jauh dari mencukupi untuk skuad negara melayakkan diri ke Piala Asia. Dengan baki 3 lagi perlawanan, skuad negara masih lagi ada sinar harapan walaupun kita akui bahawa prestasi pihak lawan jauh lebih tinggi berbanding kita. Namun demikian, jurulatih negara, K. Rajagobal masih belum mahu mengangkat bendera putih.

DATUK K. Rajagobal belum mahu menekan butang panik selepas Harimau Malaya sekadar meraih satu mata ketika seri 1-1 dengan Bahrain pada aksi kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

Menurut Rajagobal, anak-anak buahnya masih mempunyai baki tiga lagi perlawanan peringkat kelayakan yang perlu ditempuhi.

“Jika ada keyakinan yang tinggi dalam diri (setiap pemain), kami boleh pergi jauh.

“Saya rasa semua pemain yang bermain dalam perlawanan malam ini (malam kelmarin) wajar diberikan pujian kerana sumbangan mereka,” kata Rajagobal pada sidang akhbar di Stadium Shah Alam kelmarin.

Dalam pada itu, Rajagobal menepis tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa beliau kerap ‘bereksperimen’ sehingga Harimau Malaya gagal meraih keputusan yang diharapkan.

Menurutnya, situasi itu berlaku atas beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Ia bukan eksperimen tetapi hanya perubahan setelah beberapa pemain mengalami kecederaan atau tidak menepati piawaian saya dan saya perlu menggantikan tempat mereka.

“Saya yakin pasukan ini akan lebih bersemangat untuk mengharungi baki tiga perlawanan terutama aksi bertemu Bahrain di Manama pada 15 November depan,” jelasnya.

Mengulas lanjut pertemuan menentang Bahrain kelmarin, Rajagobal berkata, anak-anak buahnya tetap menampilkan watak garang walaupun turun tanpa kesebelasan utama.

“Saya rasa perlawanan ini (kelmarin) merupakan yang terbaik oleh pasukan negara pada kelayakan Piala Asia 2015 setakat ini.

“Selain itu, pencapaian empat mata (yang diraih ketika ini) juga merupakan yang terbaik pernah dicapai oleh pasukan negara dalam kempen kelayakan Piala Asia.

“Para pemain yang diberi peluang beraksi telah memberikan komitmen sepenuhnya.

“Kita perlu tanamkan dalam fikiran untuk terus positif dalam menghadapi tiga baki perlawanan selepas ini,” kata Rajagobal.

Sementara itu, jurulatih Bahrain, Anthony Hudson berkata, beliau kecewa kerana pasukannya gagal mencuri tiga mata berharga di Shah Alam.

“Kami tidak turun dengan kekuatan sebenar kerana ramai pemain utama yang cedera dan kepenatan.

“Kami sangat kecewa kerana gagal mengutip tiga mata dan kami pasti lebih bersedia untuk aksi pada November nanti,” kata Hudson. - Kosmo


Friday, October 11, 2013

Rajagobal dah hilang kata-kata, Malaysia tewas lagi

Adakah memang tahap ini saja yang skuad negara boleh capai? Adakah Malaysia hanya mampu bersaing di peringkat Asia Tenggara saja? Nampaknya impian negara untuk layak ke Piala Asia 2015 sudah gelap. Apalagi nak layak ke Piala Dunia. Mungkin ianya suatu yang terlalu mustahil. Laporan ini saya petik dari Kosmo hari ini.

PENGENDALI Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal seolah-olah kehilangan kata-kata menjelang aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 menentang Bahrain di Stadium Shah Alam pada 15 Oktober depan.

Menyedari jurang ketara antara kedua-dua pasukan bagaikan 'langit dan bumi', Rajagobal juga enggan menjadikan krisis kecederaan pemain-pemain utama Harimau Malaya kali ini sebagai alasan untuk 'mengibarkan bendera putih' sebelum berjuang.

"Semua orang kena sedar memang ada jurang ketara antara skuad negara dan Bahrain, itu sahaja saya nak cakap.

"Sama ada dilanda krisis kecederaan pemain ataupun tidak bukan persoalan utama kerana mereka (Bahrain) tetap pasukan pilihan berbanding kami.

"Jadi, saya harap pemain turun dengan keyakinan tinggi di Shah Alam nanti," katanya kepada pemberita sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang malam tadi.

Rajagobal berkata, beliau terpaksa melupakan beberapa tonggak utama seperti Wan Zack Haikal Wan Nor, Muhammad Fadhli Shas dan Mohd. Safee Sali yang dilanda kecederaan.

"Selain itu, perkembangan Aidil Zafuan Abdul Razak dan Ahmad Shakir Shaari juga dipantau dari masa ke semasa.

"Saya juga berharap supaya Norshahrul Idlan Talaha mampu pulih sepenuhnya sebelum berdepan Bahrain nanti," katanya.

Pada masa sama, Rajagobal juga menyifatkan aksi di Stadium Shah Alam tidak memberikan kelebihan buat anak-anak buahnya memburu kemenangan di laman sendiri.

"Bahrain satu pasukan yang kuat, mereka juga sudah meraih enam mata hasil dua kemenangan sebelum ini.

"Jadi, saya tidak menganggap aksi di Shah Alam mampu memberikan kelebihan buat kami.

"Cuma pada masa sama, saya percaya pemain akan turun dengan semangat juang yang tinggi bagi memburu tiga mata berharga," jelasnya.

Selepas berdepan Bahrain nanti, skuad Harimau Malaya akan kembali membuat perhitungan dengan lawan yang sama di tempat lawan pada 15 November depan sebelum melayan kunjungan Qatar empat hari kemudian.

Skuad kendalian Rajagobal bakal menutup tirai aksi kumpulan berdepan Yemen di tempat lawan pada 5 Mac tahun depan.

Cerita Blogger