Tuesday, October 8, 2013

FAM ubah gelanggang separuh akhir Piala Malaysia antara ATM vs Kelantan

Berikut berita terkini mengenani venue perlawanan separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia yang membabitkan pasukan ATM vs Kelantan.

Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan gelanggang separuh akhir pertama Piala Malaysia membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menentang Kelantan akan berlangsung di Stadium Shah Alam dan bukannya Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang menjadi gelanggang tuan rumah Gladiators.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM Datuk Afandi Hamzah berkata, perkara berkenaan sudah dibincangkan dengan ATM sebagai tuan rumah untuk aksi separuh akhir pertama. 
“Kita mengambil langkah mengadakan perbincangan sebaik saja selesai suku akhir Piala Malaysia kerana menjangkakan kehadiran penyokong yang ramai. ATM turut menyatakan persetujuan mereka dengan pertukaran gelanggang ini walaupun pada awalnya Stadium MPS didaftarkan pasukan berkenaan,” katanya. 

Afandi menambah, tindakan berkenaan bagi membolehkan lebih ramai penyokong kedua-dua pasukan hadir memberikan sokongan, kawalan yang lebih baik dan aspek lain agar perlawanan berlangsung dengan lancar.

“Bagaimanapun status tuan rumah masih lagi milik ATM. Mereka bertanggungjawab terhadap aspek keselamatan, tiket dan perkara-perkara berkaitan,” katanya.

Terdahulu badan induk berkenaan menerusi satu kenyataan memaklumkan pertukaran gelanggang berkenaan dengan tarikh dan masa tidak berubah iaitu 18 Oktober ini serta dijadualkan bermula jam 8.45 malam. 

Menurut kenyataan itu, ATM memohon perubahan gelanggang berkenaan atas faktor penambahan jumlah penonton yang dijangka berlaku dan aspek keselamatan. - hmetro

Monday, October 7, 2013

Pemain import JDT, Leonel Nunez bakal dihukum FAM kerana isyarat lucah?

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) kini hanya menunggu aduan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) berhubung insiden panas yang berlaku pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak berkata, KAFA dan PBNJ boleh mengemukakan laporan terhadap dua insiden yang berlaku pada pertembungan penuh dramatik itu.

Dua situasi yang dimaksudkan itu ialah melibatkan penyerang import Johor Darul Takzim (Johor DT), Leonel Nunez didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada penyokong Kelantan.

Satu lagi insiden melibatkan seorang lagi penyerang Harimau Selatan, Norshahrul Idlan Talaha atau dikenali sebagai Mat Yo yang mengalami kecederaan apabila hidungnya berdarah selepas disiku oleh tonggak Kelantan, Indra Putra Mahayuddin.

Insiden tersebut dikatakan ‘terlepas pandang’ oleh pengadil perlawanan, Suhaizi Shukri sehingga menyebabkan Indra terlepas daripada menerima sebarang hukuman atau kad kuning.

Mengulas lanjut, Taufek berkata, tindakan Nunez itu boleh diambil tindakan meskipun insiden itu berlaku ketika pemain kelahiran Argentina itu sedang melakukan regangan badan di tepi padang.

“Memang ada kod tatatertib di bawah peruntukan sedia ada yang mana jika terdapat pemain atau pegawai yang menunjukkan isyarat lucah, mereka boleh diambil tindakan tegas.

“Meskipun perbuatan itu dilakukan di luar perlawanan, FAM boleh mengambil tindakan jika KAFA mengemukakan laporan demikian.

“Begitu juga dengan PBNJ, mereka boleh mengemukakan aduan berhubung kekasaran yang dilakukan Indra terhadap Mat Yo.

“Merujuk seperti kes sebelum ini, (penyerang Selangor) Mohd. Amri Yahyah pernah digantung tiga perlawanan dan denda RM1,800 disebabkan kekasaran melampau terhadap (bekas) pemain Kelantan, Mohamed Ghaddar pada aksi Liga Super tahun lalu.

Taufek berkata, pihaknya tidak boleh melakukan sebarang tindakan atau dakwaan jika tidak mendapat laporan rasmi daripada KAFA mahupun PBNJ.

“Buat masa ini, kami hanya menunggu laporan penuh atau aduan rasmi daripada kedua-kedua persatuan (KAFA dan PBNJ) mengenai insiden tersebut.

“Pihak sekretariat FAM akan mengambil tindakan susulan jika ada laporan dikemukakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri malam kelmarin, Kelantan tampil bergaya apabila membelasah Johor DT 6-1, sekali gus melangkah ke saingan separuh akhir dengan agregat 8-5.

The Red Warriors bakal berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk aksi separuh akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 18 Oktober depan. - Kosmo


Cerita Blogger