Saturday, August 9, 2014

Persatuan Bola Sepak Selangor main kotor dan masih banyak masalah dalaman rupanya

Kuala Lumpur: Menjelang pemilihan Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Ke-64 pada 18 Ogos ini, sebilangan besar ahli perwakilan tampil menyuarakan rasa tidak puas hati dengan mendakwa wujudnya unsur penipuan menerusi borang pemilihan yang dibuka Isnin lalu.

Menurut Ketua Gabungan Penyokong Selangor Khairil Mokhtar, seramai 93 ahli gabungan yang hadir bagi mengisi borang pencalonan dihalang pihak sekretariat daripada mengisi nama calon bagi merebut jawatan teringgi FAS sebaliknya mereka hanya diminta meninggalkan tandatangan serta cop rasmi ahli di borang itu.

“Sebenarnya permainan kotor ini berlaku dalam FAS sejak tiga penggal lalu. Sepatutnya kami diberi kebebasan untuk memilih calon paling layak mengisi jawatan tertinggi FAS, namun hak kami selaku ahli gabungan disekat pihak tertentu yang tidak mahu perubahan dalam persatuan.

“Sebab itulah pada pemilihan kongres lalu, FAS sering mengumumkan tiada pencalonan bagi merebut kerusi Timbalan Presiden, sedangkan sebenarnya wujud salah guna kuasa individu tertentu dalam FAS.

“Hasilnya boleh dilihat dalam tiga penggal dulu, berapa kalikah Selangor dapat muncul juara? Padahal, Selangor sebuah pasukan ternama yang mempunyai tradisi hebat dalam saingan liga tempatan, tapi kini kami jauh ketinggalan di belakang pasukan seperti Kelantan, Johor Darul Ta’zim dan Pahang.

“Kali ini, mereka buat hal lagi dengan menghalang kami daripada mengisi nama calon untuk sesuatu jawatan. Mereka sekadar minta kami tandatangan dan cop pada borang saja dan membiarkan nama calon kosong,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Menurut Khairil, pihaknya yang mendapat sokongan beberapa bekas pemain skuad The Red Giants tidak akan berdiam diri kali ini apabila merancang mengadakan demonstrasi aman di depan Pejabat FAS bagi menuntut diadakan pemilihan adil pada sesi kongres kali ini.

“InsyaAllah pada petang Selasa ini, kami akan mengadakan bantahan secara aman di Wisma FAS bagi menuntut keadilan. Kami penyokong dan rakyat Selangor mahukan perubahan dalam tampuk kepimpinan FAS,” katanya.

Sementara itu, jurucakap kelab Selangor Fanatik Khairul Azwan Anuar pula berkata, difahamkan FAS bakal menjual empat pemain utama skuad Merah Kuning kepada Johor Darul Ta’zim pada musim depan.

Mereka membabitkan ketua pasukan Mohd Bunyamin Umar, Thamil Arasu, S Kunalan dan S Vinod.

“Baru-baru ini, FAS sudah mendapatkan tandatangan Paulo Rangel, tetapi mengapa pula empat pemain utama Selangor ini menjadi mangsa dengan dijual? “Di mana kesungguhan FAS mempertahankan pemain tempatan untuk beraksi bersama pasukan. Lagipun, saya tidak rasa duit daripada penjualan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya pasukan Selangor kerana sebenarnya banyak lagi masalah dalaman yang berlaku, tapi tidak didedahkan,” katanya. - hmetro

Friday, August 8, 2014

Berpijaklah di bumi yang nyata wahai Harimau Malaya

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan era 80-an, Khalid Ali mengingatkan barisan staf kejurulatihan dan pemain Harimau Malaya agar berpijak di bumi nyata dengan mengkaji semula sasaran untuk layak ke final Piala AFF.

Menurut bekas pemain tengah negara itu, Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) yang terlalu tinggi diletakkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Dollah dikhuatiri boleh memberi tekanan kepada pasukan negara yang kini berada di Tajikistan bagi menghadapi aksi persahabatan bertemu skuad kebangsaan negara itu malam ini.

“Cakap memang senang, tapi adakah pasukan kita memiliki kualiti diperlukan itu? Kalau nak pasang niat tiada masalah, tapi kita perlu sedar di mana pasukan negara berada.

“Saya bukan mahu bersikap negatif, tapi ini pandangan ikhlas saya.

Kalau masih berada di takuk sama dan sikap pemain tidak berubah, saya rasa kita tidak mampu pergi jauh malah kemungkinan kita terkandas awal tetap ada.

“Lagipun, rekod pertemuan kita dengan Singapura dan Thailand tidak begitu baik, malah sering tewas setiap kali bertemu dalam aksi penting,” katanya ketika dihubungi semalam.

Skuad Dollah diletakkan sekumpulan dengan dua pasukan kuat, Singapura dan Thailand yang pernah menjulang mahkota itu lebih daripada sekali berbanding Malaysia hanya sekali pada 2010.

Singapura yang akan tampil selaku juara bertahan selepas muncul juara dua tahun lalu apabila menghampakan Thailand 3-2 di final melengkapkan status selaku pasukan paling digeruni dengan menjuarai piala itu empat kali (1998, 2004, 2007, 2012) manakala Thailand tiga kali (1996, 2000, 2002).
Pasukan Harimau Malaya sedang berlatih untuk Piala AFF
Justeru, Khalid yang juga kenalan rapat Dollah mengharapkan bekas pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dapat melakukan transformasi dari segi corak permainan bertahan kepada corak serangan yang amat digemari jurulatih itu.

“Dollah perlu ubah dan yang pasti taktikal yang akan digunakan nanti mesti berbeza.

Jangan amalkan gaya permainan bertahan yang sering digunakan jurulatih sebelum ini,” katanya.

Laluan skuad kebangsaan juga bertambah sukar apabila selain Singapura dan Thailand, satu lagi slot Kumpulan B kemungkinan menjadi milik Myanmar yang menjadi pasukan pilihan menjuarai pusingan kelayakan. - hmetro

Cerita Blogger