Friday, November 14, 2014

Rayu sokongan di sebalik aksi lembik Harimau Malaya

PETALING JAYA: Peminat bola sepak tempatan diseru terus memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya walaupun mempamerkan aksi hambar dalam beberapa perlawanan persahabatan sebelum ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kekalahan 3-0 kepada kepada skuad Bawah 23 Syria semalam merupakan satu keputusan di luar jangka namun yakin mereka kembali menyengat pada aksi seterusnya berdepan Vietnam di tempat lawan, Ahad ini.
Setiausaha Agung FAM
“Saya akui kita kecewa dengan keputusan semalam tetapi dalam mana-mana situasi, kita perlu terus fokus dan saya harap skuad negara akan dapat melakar keputusan positif menentang Vietnam nanti.

“Selepas perlawanan malam tadi, saya bersama jurulatih Dollah Salleh serta pengurus pasukan, Datuk Sudarsono Osman sudah membuat post-mortem bagi mengenal pasti kelemahan pasukan yang perlu segera diatasi,” kata Hamidin seperti dilaporkan oleh Bernama.

Kekalahan tersebut mengundang kemarahan sebahagian penyokong yang hadir di Stadium Shah Alam dan dikatakan turut menghamburkan kata-kata kesat terhadap pemain dan jurulatih.

Dalam pada itu, Hamidin berkata, badan induk itu akan menjual baki tiket bagi tiga aksi kumpulan B Piala AFF Suzuki 2014 melibatkan skuad negara di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula esok sehingga 19 Nov ini dari pukul 9 pagi sehingga 5.30 petang.

Malaysia yang diundi dalam kumpulan B akan memulakan kempen kejohanan dengan berdepan Myanmar pada 23 Nov diikuti Thailand pada 26 Nov, kedua-dua perlawanan berkenaan akan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Skuad negara akan menamatkan aksi pusingan awal menentang Singapura di Stadium Nasional, Singapore Sports Hub, pada 29 Nov ini.

Vietnam, yang menjadi tuan rumah bersama, akan mengetuai cabaran kumpulan A bersama tiga pasukan lain iaitu Filipina, Indonesia dan Laos.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan terbaik daripada setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang diadakan mengikut format timbal balik. - FMT

0 comments:

Post a Comment

Setiap komen akan memberi backlink kepada anda. Sila komen pakai otak manusia yer...

Cerita Blogger