Pengurus Southampton, Ronald Koeman mengakui bahawa dia masih terkejut selepas pasukannya itu menang besar ke atas Sunderland 8-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris semalam.
Para pemain Southampton berpesta gol ketika menentang Sunderland |
Kemenangan ini sekaligus meletakkan pasukan Southampton melonjak ke tangga ketiga liga. Sejak wisel pertama dibunyikan, The Saints memang sudah menunjukkan permainan yang lebih menarik dan semangat mereka dilihat lebih membara selepas dihadiahkan gol sendiri oleh Santiago Vergini pada awal permainan. Graziano Pelle kemudian menjadikannya 2-0 sebelum Sunderland dikecewakan dengan sepakan penalti yang ditolak oleh pengadil. The Saints terus mengganas dengan jaringan kedua Pelle, gol Jack Cork, Dusan Tadic, Victor Wanyama, dan satu lagi gol sendiri oleh Liam Bridcutt.
Koeman juga turut meluahkan rasa simpati terhadap pasukan kendalian Gus Poyet yang kelihatan seakan-akan hilang semangat selepas Sunderland dinafikan sepakan penalti pada awal separuh masa pertama.
"Saya masih lagi terkejut", kata Koeman. "Kadangkala bola sepak memang pelik. Saya juga simpati kepada Gus Poyet kerana mereka bermain dengan baik pada awalnya dan mempunyai beberapa peluang yang baik. Nasib mereka tidak baik dengan jaringan sendiri itu dan mungkin ketika ketinggalan 2-0, mereka mungkin sepatutnya diberikan hadiah sepakan penalti. Tapi apapun, saya bangga dengan pasukan saya dan berhak untuk menang perlawanan itu."
Koeman turut memuji bahagian pertahanan pasukannya yang berjaya menjaga gawang daripada dibolosi terutamanya penjaga gol mereka.
0 comments:
Post a Comment
Setiap komen akan memberi backlink kepada anda. Sila komen pakai otak manusia yer...