Monday, October 13, 2014

Kelayakan EURO 2016: Juara Piala Dunia, Jerman akhirnya tewas di tangan Poland

Poland mencipta kejutan ke atas juara Piala Dunia, Jerman dengan kemenangan 2-0 dan ia kejayaan pertama menundukkan pasukan jiran itu sekali gus membolehkan mereka mendahului Kumpulan D kelayakan Euro 2016.
Para pemain Poland meraikan gol menewaskan Jerman (via RTE Sport)
Arkadiusz Milik meletakkan mereka di depan menerusi tandukan pada minit ke-51 dan Sebastian Mila menambah jaringan pada lewat permainan untuk memberikan kemenangan paling diingati pasukan tuan rumah ke atas musuh ketat Jerman selepas gagal dalam 18 pertemuan.

Poland yang hanya menyumbat satu gol dalam enam pertembungan sebelum ini dan tewas 12 daripada 18 perlawanan sama ada menentang Jerman atau Jerman Barat kini mengungguli kedudukan teratas Kumpulan D dengan enam mata bersama Ireland.

Jerman yang tidak pernah tumpas di gelanggang lawan pada pusingan kelayakan tidak kira dalam kempen Piala Dunia atau Euro sejak 1998 kini menduduki tangga ketiga dengan tiga mata selepas dua perlawanan.

Dengan menyarung jersi berwarna hitam berbelang merah sama seperti ketika mereka membelasah Brazil 7-1 pada separuh akhir Piala Dunia Julai lalu, Jerman berjaya mengawal permainan bagaimanapun mereka banyak mensia-siakan peluang.

"Sememangnya kami amat kecewa," kata jurulatih Jerman, Joachim Loew. "Namun saya tidak boleh mengulas banyak mengenai pasukan. Apa yang ketara kami gagal menggunakan peluang pada babak pertama.

"Pada babak kedua juga kami bermain baik dan mencipta banyak peluang namun Poland yang berjaya menjaringkan gol menerusi percubaan bahaya pertama mereka," kata Loew.

Jerman turun beraksi di stadium yang menyaksikan mereka kalah 1-2 kepada Itali pada separuh akhir Euro 2012 dan mereka bergelut untuk menembusi kekebalan pertahanan Poland yang mendapat sokongan 57,000 penyokong.

Pemain pertahanan tengah tinggi lampai Kamil Glik dan Lukasz Szukala berjaya mengekang segala asakan bola tinggi daripada Mats Hummels yang beraksi buat kali pertama sejak final Piala Dunia. - hmetro



0 comments:

Post a Comment

Setiap komen akan memberi backlink kepada anda. Sila komen pakai otak manusia yer...

Cerita Blogger