Thursday, October 16, 2014

Kemelut PBSNT dan PBNJ buatkan pemain pertahanan Terengganu tawar hati dengan tawaran masuk JDT

Kuala Terengganu: "Maaf Johor DT (Johor Darul Ta'zim), saya sudah tawar hati."
Mohd Zubir (pic via TTD)
Itu reaksi pemain pertahanan Terengganu, Muhammad Zubir Mohd Azmi ketika mengulas statusnya musim depan yang dikatakan sudah berada dalam radar Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ). Menurut pemain berusia 23 tahun itu, dia tidak menafikan sebelum ini berminat membarisi skuad itu musim depan, tetapi dengan beberapa kemelut melanda antara Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan juga PBNJ, dia kini akan memikirkan semula keputusan untuk bersama skuad itu musim depan.

"Sebelum ini sudah ada perbincangan awal antara saya dengan pegawai PBNJ dan pada dasarnya perbincangan itu menampakkan perkembangan positif kerana saya berhasrat menimba pengalaman baru dengan pasukan itu. Tapi, dengan beberapa isu terkini, saya sudah tidak berminat dan tawar hati," katanya kepada Arena Metro semalam.

Akhbar semalam melaporkan, pemain pertahanan kebangsaan itu bersama seorang lagi pemain Terengganu Mohd Nor Farhan Muhamad bakal menyarung jersi skuad terkaya di Malaysia itu. Selain dua pemain itu, turut berada dalam radar skuad Johor DT ialah penjaga gol Selangor, Mohd Farizal Marlias dan S Kunanlan.

Mengulas lanjut, Zubir berkata, dia turut terkejut mengenai laporan akhbar semalam ketika saingan suku akhir kedua antara Terengganu dan Johor DT belum berlangsung.

"Sepatutnya isu perpindahan itu tidak perlu digembar-gemburkan dalam media kerana saingan Piala Malaysia terutama perlawanan Terengganu dan Johor DT belum berlangsung. Laporan itu sedikit sebanyak menjejaskan imej saya sebagai pemain profesional selain tidak manis dipandang peminat Terengganu," katanya yang masih sayangkan skuad Penyu.

Ketika ditanya adakah dia akan terus menyarung jersi Terengganu musim depan kerana masih mempunyai kontrak setahun, pertahanan kiri itu belum mahu membuat keputusan kerana mahu menumpukan perhatian dalam saingan Piala Malaysia.

"Mungkin selepas Piala Malaysia baru saya akan maklumkan kerana ada dua pasukan juga mahukan khidmat saya," kata pemain kelahiran Kampung Telaga Papan, Setiu itu.

Sementara itu, pengurus pasukan Terengganu Marzuki Sulong berkata, PBSNT tidak menghalang dan menyekat dua pemain itu jika berhajat menyarung jersi mana-mana pasukan termasuk Johor DT, tetapi perlulah melalui saluran betul.

"PBSNT mengamalkan sikap terbuka dalam hal ini, tapi persatuan dan pemain berhajat mendapatkan mana-mana pemain perlulah mengikut prosedur betul mengikut peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya. - hmetro

0 comments:

Post a Comment

Setiap komen akan memberi backlink kepada anda. Sila komen pakai otak manusia yer...

Cerita Blogger