Friday, January 3, 2014

Isu Rasuah KLFA: 5 Pemain Kuala Lumpur dakwa dianiaya akan dipanggil beri keterangan

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hanya akan mendengar keterangan tiga daripada lima pemain Kuala Lumpur yang didakwa terbabit dalam rasuah dan mengatur perlawanan pada mesyuaratnya di Wisma FAM, petang ini.

Mereka ialah Syazwan Rani, J Mugilan Kartik dan Azwan Jatin manakala dua lagi pemain, S Sivaraj dan Amirul Asraf Mohd Noor akan memberi keterangan pada 7 Januari ini. 

“Kami akan ambil keterangan tiga pemain ini terlebih dahulu. Jika mereka mengaku bersalah, maka tiada apa yang perlu dibicarakan, tapi jika mereka mengaku tidak bersalah, kami akan dengar keterangan mereka untuk membela diri. 

“Tiada keputusan akan kami umumkan esok (hari ini). Semua keputusan hanya akan dibuat selepas kami mendengar keterangan daripada baki dua lagi pemain (Sivaraj dan Amirul Asraf) pada 7 Januari (Selasa ini),” kata Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abdul Razak ketika dihubungi, semalam.

Ada hak membela diri
Pada 27 Disember lalu, dua pemain Kuala Lumpur, Azizon Abdul Kadir dan Benedict Martin turut memberi keterangan kepada jawatankuasa itu.
Sementara itu, Presiden badan pemantau rasuah Transparency International Malaysia (TI-M) Datuk Akhbar Satar, berkata pemain Kuala Lumpur yang berasakan mereka dianiaya berhubung kes rasuah itu berhak membela diri.

Selaku individu yang berpengalaman dalam menangani masalah rasuah di negara ini, Akhbar berpendapat ia menjadi hak pemain berkenaan untuk mengetengahkan isu itu kepada pihak berwajib.

“Tidak salah FAM mengambil tindakan mengikut peraturan mereka, tetapi lebih baik sekiranya siasatan itu turut membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana badan itu memiliki kepakaran dalam kes rasuah.

“Bagaimanapun, dalam soal pemain tidak menerima surat pertuduhan, mereka ada hak membela diri. Itu hak mereka untuk mengetengahkan perkara ini sama ada membawa kes ke mahkamah atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS),” katanya ketika dihubungi semalam.


Tak boleh ke mahkamah
Akhbar yang juga bekas Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Perlis dan Negeri Sembilan berkata demikian ketika diminta mengulas insiden menimpa tiga pegawai dan lima pemain Kuala Lumpur yang dikenakan hukuman gantung seumur hidup dan denda RM20,000 setiap seorang oleh FAM pada 20 Disember lalu.

BH Sukan semalam juga melaporkan bekas pengurus pasukan FELDA United, Faisal Zakariah yang pernah menganggotai Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM berpendapat pemain berhak untuk membela diri dan menggunakan setiap saluran bagi mempertahankan dan membersihkan imej mereka.

FAM sebelum ini menegaskan pemain yang dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana gagal menjawab pertuduhan rasuah dan mengatur perlawanan tidak boleh membawa kes itu ke mahkamah, sebaliknya mereka boleh memanjangkan kepada CAS untuk pembelaan sekiranya masih tidak berpuas hati.

Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) sebelum ini mengakui tidak dapat menyerahkan surat pertuduhan rasuah dan mengatur perlawanan kepada pemain skuad itu kerana gagal menghubungi mereka. - BH

0 comments:

Post a Comment

Setiap komen akan memberi backlink kepada anda. Sila komen pakai otak manusia yer...

Cerita Blogger