Saturday, January 4, 2014

Rayuan pemain KLFA Ditolak: Hukuman gantung seumur hidup kerana rasuah adalah muktamad

Nampak gayanya, para pemain bola sepak yang terlibat ini terpaksa cari kerja lain selain bermain bola...


Kelana Jaya: Pemain Kuala Lumpur musim lalu, Fadhullah Yunfisar dan empat rakannya terpaksa melupakan hasrat untuk melihat hukuman gantung seumur hidup dan denda RM20,000 yang dikenakan terhadap mereka pada 20 Disember lalu kerana dakwaan rasuah dan mengatur perlawanan dibicarakan semula.

Ini berikutan hukuman itu tidak boleh dirayu kerana ia membabitkan gantung seumur hidup. 

Sehubungan itu, Fadhullah, Phoo Kai Lun, Khairul Anuar Shafie, Jeremy Danker dan Hafizi Roslee yang tidak berpuas hati dengan hukuman itu seharusnya mengemukakan aduan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi membolehkan Jawatankuasa Timbang Tara badan induk itu menjalankan siasatan. 

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Abd Razak berkata, hukuman penggantungan seumur hidup itu sememangnya tidak boleh dirayu dan sebelum menjatuhkan hukuman pihaknya berpuas hati dengan proses penyerahan surat pertuduhan kepada pemain yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).


“Kita ikut prosedur. Apabila kita mengikut prosedur yang sudah termaktub, ia bermakna setiap individu yang terbabit perlu mematuhi prosedur berkenaan.

“Jadi sekiranya timbul persoalan untuk membuat rayuan, kita perlu lihat klausa sama ada hukuman yang dikenakan itu boleh dirayu atau tidak. Ingin saya jelaskan di sini, hukuman gantung seumur hidup kerana kesalahan rasuah tidak boleh dirayu. Ia muktamad,” katanya malam tadi. - BH

0 comments:

Post a Comment

Setiap komen akan memberi backlink kepada anda. Sila komen pakai otak manusia yer...

Cerita Blogger